Belanjawan Pembangkang Buat Pelabur Luar Hilang Keyakinan: Muhyiddin


MIRI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata belanjawan bayangan 2013 yang dibentangkan pakatan pembangkang sehingga menambah defisit fiskal dan hutang Malaysia berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) masing-masing kepada 7.2 peratus dan 57.8 peratus boleh memberi impak negatif kepada negara. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika dilaksanakan, ia akan menyebabkan pelabur asing tidak yakin dengan pengurusan ekonomi negara berikutan kadar defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi seterusnya memberi kesan kepada rating ekonomi Malaysia. 

"Belanjawan pembangkang mengelirukan dan tidak berasaskan prinsip belanjawan yang baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tanjung Bungai, Bekenu di sini, semalam. 
Muhyiddin berkata, kekeliruan belanjawan dibentangkan pakatan pembangkang adalah bukti kukuh mereka sentiasa memberi janji yang tidak realistik dan gagal menguruskan ekonomi negara. 

Sebelum ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dipetik sebagai berkata, dakwaan pembangkang bahawa belanjawan cadangannya akan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus merupakan satu contoh "lemah matematik" yang ketara. 

Ahmad Husni berkata belanjawan cadangan pembangkang itu akan memaksa kerajaan menanggung perbelanjaan mengurus sebanyak RM224.3 bilion, jauh lebih tinggi daripada RM185.3 bilion yang didakwa oleh pembangkang. 

Beliau berkata belanjawan bayangan itu tidak mencerminkan kedudukan sebenar prestasi kewangan kerajaan dan juga tidak mengambil kira rancangan-rancangan yang diumumkan oleh pembangkang dalam belanjawan khusus mereka itu. 
Belanjawan cadangan pembangkang yang menunjukkan pengurangan emolumen penjawat awam sebanyak RM2.6 bilion kepada RM56 bilion juga bererti pengurangan sebanyak 72,000 pekerjaan berdasarkan andaian gaji purata RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun, katanya. 

"Antara rancangan yang tidak diambil kira dalam membuat perkiraan defisit negara itu ialah cadangan pelarasan gaji minimum, pemberian bonus tahunan bagi warga emas, penghapusan tol, dan hutang yang akan ditanggung oleh kerajaan berikutan penghapusan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara)," katanya. 

Ahmad Husni berkata jika cadangan pelarasan gaji minimum itu dilaksanakan, kerajaan akan memerlukan peruntukan tambahan RM4.4 bilion manakala penghapusan tol akan menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan sebanyak RM6 bilion melalui subsidi yang lebih tinggi. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kekeliruan dalam belanjawan dibentangkan pakatan pembangkang adalah bukti kukuh mereka sanggup menabur janji tidak realistik. 

"Mereka sanggup menjanjikan bulan dan bintang," katanya sambil menambah ekonomi negara boleh menjadi lemah dan tidak berkembang jika ia dilaksanakan. 

Dalam perkembangan lain, beliau juga mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk menambah baik infrastruktur pelancongan di Sibuti sebagai permulaan untuk menjalankan projek menambah baik infrastruktur pelancongannya. 

Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg di dalam majlis yang sama mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk menyediakan peruntukan RM8 juta bagi menambah baik infrastruktur pelancongan di Sibuti. 

"Dengan lokasi di tepi pantai, potensi pelancongan Sibuti amat besar," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan