Pintu DUN Kecoh Halang NGO Serah Memorandum
PULAU PINANG - Waktu rehat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tenang semalam bertukar kecoh apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Muka Buku Pulau Pinang hadir menyerahkan memorandum.
Kumpulan kecil itu yang tiba sekitar pukul 1 petang berhimpun di pintu masuk dan meminta Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man menemui mereka dan menerima memorandum untuk membentangkan usul pelaksanaan hukum hudud dalam persidangan.
Walau bagaimanapun, Mohd. Salleh enggan keluar dan hanya menghantar wakilnya menyebabkan kumpulan yang diketuai Salleh Ismail itu tidak berpuas hati.
Keadaan juga mula kecoh apabila beliau menggunakan pembesar suara mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu keluar.
"Kami tidak mahu menyerahkan memorandum ini kepada pembantu peribadi beliau kerana sebelum ini sudah banyak kali ditipu ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Malik Kassim yang hanya menghantar wakilnya.
"Namun, masalah kami tidak diselesaikan dan berlarutan selama beberapa bulan, malah beliau sering kali mengelak untuk berjumpa kami," katanya.
Pada masa sama, mereka turut memohon untuk masuk ke pekarangan DUN kerana mendakwa kawasan itu milik rakyat namun tidak dibenarkan pengawal keselamatan.
Kumpulan yang turut disertai beberapa penjaja kecil di Padang Kota Lama itu kemudiannya berarak menuju pintu utama sambil berteriak menggunakan pembesar suara supaya Salleh keluar menemui mereka.
Keadaan itu menarik perhatian pengguna jalan raya dan pelancong asing yang berada di situ.
"Kenapa Salleh selaku wakil rakyat tidak mahu bertemu kami. Ini bukan demonstrasi kerana bilangan kami kecil dan tidak berbahaya.
"Kami hanya mahu serahkan memorandum supaya beliau membentangkan usul perlaksanaan hukum hudud di Pulau Pinang," katanya.
Mohd. Salleh akhirnya tampil dan menerima memorandum tersebut namun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu. -Utusan
0 comments:
Catat Ulasan