BN Kecewa Syarat DAP Pulau Pinang Menyusahkan


Barisan Nasional (BN) negeri kecewa dengan keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang menolak tawaran membeli tapak projek perumahan rakyat (PPR) di Taman Manggis di sini.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, keputusan itu telah menafikan peluang keemasan rakyat miskin di negeri ini memiliki rumah mampu milik yang selama ini langsung tidak dibina kerajaan negeri.

"Alasan penolakan mereka juga tidak munasabah. Sebenarnya semasa menerima deposit satu peratus daripada BN, mereka telah menerima deposit penuh daripada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam (Khamis).

Beliau mengulas keputusan kerajaan negeri menolak penjualan tanah seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin seperti yang diputuskan dalam majlis mesyuarat Exco kelmarin berdasarkan empat sebab.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebab pertama adalah tiada keikhlasan BN negeri termasuk Chang Yeow membina PPR atau rumah kos rendah berikutan percanggahan kenyataan dengan pemaju Taman Manggis Fasa 2 Development Sdn. Bhd., yang mahu membina rumah berharga RM400,000.

Sebab kedua dakwa Guan Eng, kegagalan menukar pengarah dan pemilik saham pemaju berkenaan termasuk memasukkan nama Chang Yeow dan beberapa pemimpin BN lain serta kerajaan negeri.

Turut dijadikan sebab adalah kegagalan menyemak semula modal pusingan berbayar untuk syarikat pembangunan perumahan seperti ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak tiga peratus daripada nilai pembangunan kasar.

Sebab lain termasuk gagal membayar baki penuh harga belian sebanyak RM22,183,277 pada 5 Disember lalu meskipun dilanjutkan sehingga sebulan.

Mengulas lanjut, Chang Yeow berkata, mereka telah merujuk kepada peguam berhubung perkembangan terbaharu itu dan akan mengadakan sidang akhbar dalam tempoh terdekat.

"Selama ini, kerajaan DAP Pulau Pinang telah memberikan syarat-syarat yang menyusahkan kita berhubung urusan pembelian tanah terbabit," katanya.

Tapak PPR itu sepatutnya dibina dengan projek PPR fasa kedua namun dijual kerajaan negeri kepada KLIDC bagi projek pembinaan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital persendirian dan lima tingkat tempat letak kereta.

Pada 4 September lalu, Pemuda BN negeri menerima surat tawaran daripada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik untuk membeli tanah seluas 0.45 hektar itu dengan harga jualan RM450 sekaki persegi.

Tawaran tersebut kemudiannya disahut Pemuda BN negeri bagi menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan pemaju swasta dengan bayaran wang pendahuluan satu peratus iaitu sebanyak RM224,073 secara tunai pada 3 Oktober lalu.

Namun, Guan Eng memberi tempoh 30 hari untuk menyelesaikan bayaran baki penuh yang dianggap Pemuda BN negeri sebagai syarat tidak munasabah. -UTUSAN

0 comments:

Catat Ulasan