Gara-Gara Kerajaan Negeri Selangor, Langat 2 Lewat 29 Bulan!


KUALA LUMPUR - Keengganan kerajaan negeri Selangor bekerjasama dengan kerajaan pusat menyebabkan projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 mengalami kelewatan 29 bulan berbanding jadual asal.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata berdasarkan jadual asal, pembinaan loji itu sepatutnya sudah pada tahap 68.95 peratus, namun setakat Oktober lepas status pembinaan hanya 28.40 peratus.

"Pembinaan Loji Langat 2 berkapasiti 1,130 juta liter air sehari mula diiklankan pada 4 Sept lepas dan akan ditutup pada 27 Dis ini dan mengikut perancangan pembinaannya dijangka bermula pada Jun 2013," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Chew Lee Giok berkenaan perkembangan terkini pembinaan Loji Langat 2 pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Katanya antara punca kelewatan ialah arahan kerajaan Selangor agar pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu menangguhkan kelulusan yang diperlukan bagi pelaksanaan projek.

"Kelulusan segera PBT seterusnya akan membolehkan bukan sahaja Langat 2 dibina pada Jun 2013 malah 22 pakej lain dapat ditender," katanya.

Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga 2025.

Projek itu juga melibatkan pembinaan terowong sepanjang 44.6 km, yang terbesar dan terpanjang di Asia Tenggara, untuk menyalurkan air dari Sungai Semantan di Pahang ke Sungai Hulu Langat di Selangor melalui Banjaran Titiwangsa.

Bagaimanapun, projek itu tertangguh apabila kerajaan negeri Selangor, melalui majlis tempatannya, enggan meluluskan arahan pembangunan Chin berkata sehingga kini jumlah air terawat dalam simpanan hanya 3.3 peratus dan jumlah itu amat sedikit bagi menampung permintaan yang sentiasa meningkat.

"Bayangkan pula sekiranya terdapat loji yang agak besar di Selangor mengalami masalah teknikal serta tidak mampu berfungsi pada tahap maksimum sudah pasti kita akan hadapi masalah defisit bekalan air terawat yang serius," katanya. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan