Teater Tun Siti Hasmah - 'Dari Hati Seorang Perempuan' Memaparkan Kehidupan Tun Siti Hasmah Bersama Tun Mahathir


KUALA LUMPUR - Pementasan Teater Tun Siti Hasmah - 'Dari Hati Seorang Perempuan' di Istana Budaya yang berlangsung dari 29 November telah melabuhkan tirai pementasannya pada malam tadi (3 Disember). 

Teater yang berlangsung dalam tempoh 1 minggu ini telah memberi kesan mendalam kepada penonton bagi menghayati detik suka duka insan bernama Tun Siti Hasmah yang hidup bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Peranan Tun Siti Hasmah semasa muda dibawa oleh Lisa Surihani manakala ketika sudah berkahwin dengan Tun Mahathir dibawa oleh Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja. Watak Tun Mahathir dibawa oleh aktor Nazim Othman dan diteruskan oleh Esma Daniel yang sebelum ini pernah membawa watak Tun Mahathir ketika pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir 1 dan 2.

Teater yang mengisahkan penceritaan bermula era 50-an hingga kini telah berjaya dipentaskan dalam masa 2 jam.

Plot penceritaan telah dimulakan dengan watak Tun Siti Hasmah yang baru sahaja melanjutkan pengajian di King Edward VII College of Medicine dan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Singapura. Di sini bermula bibit-bibit percintaan antara Tun Siti bersama Tun Mahathir.

Plot diteruskan dengan mengisahkan kehidupan mencabar Tun Siti Hasmah yang menjadi doktor di kawasan pedalaman sehingga terjadi peristiwa mengejutkan Tun Siti Hasmah apabila Tun Mahathir dipecat daripada UMNO. 

Dalam keperitan lahirnya ketabahan hati Tun Siti Hasmah, beliau amat cekal dalam mengharungi liku-liku kehidupan bersama Tun Mahathir. Kerjaya suami, Tun Mahahir sebagai Perdana Menteri tidak menghalang Tun Siti Hasmah untuk berbakti dan melakukan tugas-tugas sosial. 

Watak Tun Siti Hasmah yang dilakonkan Eja berjaya memaparkan ketabahan dan kesabaran menjadi insan disisi suami tercinta. Tun Siti Hasmah merupakan tulang belakang kejayaan Tun M dalam menjalani kehidupan sebagai Perdana Menteri untuk membangunkan negara.

Watak Tun Mahathir yang dibawa oleh Esma Daniel berjaya menghidupkan plot penceritaan teater ini. Esma ternyata berjaya meniru watak sebenar Tun M dengan gaya berjalan bertutur mirip watak sebenar. Tugas membawa watak Tun M bukan cabaran besar buat Esma kerana dia pernah membawa watak itu sebelum ini.

Penceritaan watak Tun M berjaya menghidupkan teater ini dengan baik. Bahagian akhir cerita ini telah dikejutkan apabila Tun Mahathir mengumumkan perletakan semua jawatan dalam UMNO dan Perdana Menteri ketika Perhimpunan Agung UMNO. Ketika ini, Tun Siti Hasmah ingin menaiki pentas tetapi teragak-agak kerana beliau sedar bukan tempatnya di atas sana biarpun bergelar seorang Isteri kepada Perdana Menteri.

Erma Fatima turut menjadi salah seorang pelakon disamping pengarah teater ini yang mana beliau telah melakonkan watak setiausaha Dr. Mahathir iaitu Datuk Badariah.

Melalui temuramah yang dijalankan, rata-rata pengunjung berpuas hati menyaksikan Teater Tun Siti Hasmah - 'Dari Hati Seorang Perempuan'. Ia menceritakan perit getir seorang isteri kepada Perdana Menteri disamping kesibukannya sebagai aktivis sosial kepada rakyat.

Pengarah Teater, Erma Fatima berkata kepada Putrajaya Online, "saya amat menyanjung Tun Mahathir dan isterinya Tun Siti Hasmah. Oleh itu, saya mengarap skrip penceritaan ini bagi menceritakan kehidupan seorang Isteri kepada Tun M. Saya mengambil alih tugas ini daripada Adlin Aman Ramlie dan saya perlu merombak keseluruhan skrip penceritaan. Saya membuat kajian melalui media internet dan merujuk kepada Tun Siti Hasmah sendiri bagi menjayakan perjalanan hidupnya bersama negarawan Tun M."

"Seluruh rakyat Malaysia perlu mengetahui kisah kehidupan Tun Siti Hasmah melalui teater ini. Walaupun tidak banyak yang mampu saya selitkan untuk menceritakan perjalanan hidup selama 30 tahun dalam masa 2 jam, tetapi saya bersyukur kepada Allah S.W.T akhirnya teater ini dapat direalisasikan" katanya lagi.

Dialog "BERMADU dengan wanita sakitnya sampai ke lulur hati, tapi saya bermadu dengan rakyat, ada sakit, ada nikmat..." yang dilontarkan Siti Hasmah dalam teater ini telah memberi mantik mendalam kepada penonton terhadap kisah hidup Tun Dr. Siti Hasmah. [SUMBER]


Untuk melihat gambar Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah ketika pementasan teater :KLIK SINI:

0 comments:

Catat Ulasan