Khabar Angin Berunsur Fitnah Membahayakan! - DS @HishammuddinH2O


KLUANG 30 Jan. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan amalan menyebarkan khabar angin berunsur fitnah terutamanya membabitkan keselamatan negara adalah satu perkembangan yang tidak sihat dan menjijikkan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak terus mempercayai khabar-khabar angin, sebaliknya mendapatkan kepastian daripada sumber yang sah dan boleh dipercayai.

"Kali ini hanya khabar angin Ketua Polis Negara dikatakan telah mati, tetapi saya boleh nafikan perkara itu kerana jika apa-apa berlaku kepadanya, saya orang pertama yang akan tahu disebabkan setiap jam saya menerima laporan daripada beliau.

"Tetapi bayangkan cerita berhubung kait dengan isu perkauman dan pertembungan agama yang mungkin boleh menimbulkan emosi yang sukar dikawal, maka hancur sekelip mata apa yang kita bina selama ini. Sebab itu, berhati-hati dengan apa yang kita baca dalam blog, twitter, Facebook dan kita cari pengesahan kerana kita tidak ada benda nak sembunyikan daripada orang ramai pun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan rumah baru kepada 56 mangsa banjir sekitar Kampung Gajah yang berpindah ke Taman Desa Sejahtera menerusi projek dibangunkan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) di sini hari ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengeluarkan kenyataan menafikan khabar angin Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah meninggal dunia awal pagi ini di London yang tersebar seawal pukul 3 pagi tadi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah membawa dua tahanan warga Malaysia di Teluk Guantanamo untuk didakwa di tribunal tentera dan meminta ia dipercepatkan untuk memberi keadilan kepada mereka.

Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau turut mengecam Barat yang sering melaungkan perjuangan hak asasi manusia, tetapi dalam masa sama menahan dua warga Malaysia di Guantanamo selama bertahun-tahun tanpa dibicarakan.

"Nak bawa kepada tribunal tentera, bawalah. Tetapi cepatlah dan pada masa sama, jangan pula mengatakan akta-akta kita tidak adil dan negara tidak bebas. Kita tahu bagaimana hendak membendung keganasan dan kita tahu bila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dipinda tanpa menjejaskan kepentingan orang ramai," katanya. -utusan

0 comments:

Catat Ulasan