Rayuan Gagal... Blogger Pemfitnah Pembangkang Tetap Kena Bayar RM300K!!



PUTRAJAYA 18 Jan. - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan penulis blog, Amizudin Ahmat, 42, membayar ganti rugi RM300,000 kepada Datuk Seri Dr. Rais Yatim berhubung penyiaran artikel yang memfitnah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Jeffrey Tan Kok Wha yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dan Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutus demikian selepas menolak rayuan Amizudin.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan Amizudin yang merupakan ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) membayar kos RM50,000 selepas mengurangkan separuh daripada kos yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Ketika mengurangkan kos tersebut, Hakim Jeffrey berpendapat, kos RM100,00 itu terlalu tinggi sedangkan kes itu sama pentingnya dengan kes sivil yang lain.

Pada 5 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Amizudin bertanggungjawab memfitnah Rais, 69, menerusi sebuah artikel yang dipaparkan dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Perayu diwakili oleh peguam R. Sivarasa manakala Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mewakili Rais. - UTUSAN

0 comments:

Catat Ulasan