Bajet 2013 Model Kemakmuran
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan pembentangan Bajet 2013 dengan memetik sepotong ayat dari Surah al-Baqarah, ayat 148 yang diturunkan di Madinah, bermaksud: “Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana saja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Pada akhir ucapannya pula Najib menyebut: “Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.”
Kedua-dua pembuka dan penutup ucapan pembentangan Bajet Najib selaku Menteri Kewangan ini mempunyai hubung kait yang amat jelas seperti dipaparkan melalui keseluruhan kandungan Bajet 2013. Setiap kali beliau mendapat tepukan daripada penyokong kerajaan, setiap kali itu jugalah barisan pembangkang terkedu. Ia seolah-olah mematah hujah Bajet Alternatif yang dibentang beberapa hari sebelum itu.
Namun, yang pasti apa juga kebaikan yang diberikan kepada rakyat, pembangkang melabelkannya Bajet 2013 adalah bajet pilihan raya. Jika betul pembangkang mengatakan ia bajet pilihan raya, bermakna pembangkang secara tidak sedar mengakui bahawa bajet ini adalah baik dan menguntungkan rakyat.
Mereka lupa Bajet Alternatif mereka adalah jelas untuk membeli undi rakyat. Pembangkang tidak sedikit pun berasa malu untuk merobohkan apa yang sudah dibina dan memansuhkan apa yang sudah diterima oleh rakyat semata-mata untuk memperdayakan pemikiran mereka. Tindakan mereka ini diibaratkan cubaan merobohkan bangunan yang dibina oleh orang lain. Bajet Negara 2013 menangkis segala yang cuba disogok pembangkang walaupun mereka menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala.
Dengan Bajet bertemakan ‘Memakmurkan Negara, Mensejahtera Rakyat; Sebuah Janji ditepati’, ia hadiah paling bermakna kepada rakyat.
Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Bagi kerajaan, apa yang diharapkan Bajet 2013 ini akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil pelaksanaan program dan projek pembangunan.
Secara umum, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat diterjemahkan kepada pelbagai ganjaran untuk semua rakyat tanpa mengira warna kulit, kedudukan dan status. Bagi Najib, kemakmuran negara amat penting diikuti usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat. Bagi mencapai kemakmuran negara, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang. Usaha untuk mensejahterakan rakyat pula dilakukan dengan menyediakan dengan pelbagai kemudahan dari segi pendidikan hinggalah kepada perumahan dan pelbagai perkhidmatan lain termasuk pengangkutan dan suasana persekitaran sebagainya. Sewajarnyalah kerajaan membantu rakyat kerana sejak 1959, rakyat memberi mandat sebanyak 12 kali kepada kerajaan Barisan Nasional. Itulah sebabnya Najib mengatakan ekonomi Malaysia berteraskan rakyat. Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat mewakili masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan. Ini didukung pula penjawat awam dan usahawan. Inilah formula kejayaan Malaysia.
Rakyat yang berpendapat rendah termasuk golongan berpencen juga diberi ganjaran sewajarnya bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang sejahtera. Bagi golongan berada, mereka tidak mempunyai masalah untuk menampung kehidupan. Tetapi, kehidupan mereka tidak bermakna jika keadaan keselamatan negara tidak terjamin. Apa gunanya bergaji besar atau memiliki wang yang banyak jika kehidupan mereka sentiasa terancam dengan suasana sekeliling yang tidak selamat. Untuk mensejahterakan kehidupan mereka dan seluruh rakyat, kerajaan berusaha untuk memastikan keadaan negara sentiasa selamat termasuk daripada ancaman kegiatan jenayah.
Setelah lima kali pembentangan Bajet negara sejak menjawat jawatan Menteri Kewangan pada 2008, jelas kelihatan hala tuju masa depan negara yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri. Beliau bukan saja cuba membawa negara ke satu acuan transformasi yang sihat tetapi cuba mengetengahkan satu model kehidupan rakyat Malaysia yang makmur dan hidup sejahtera. -BH
0 comments:
Catat Ulasan