Bajet pembangkang Tak Berasaskan Realiti
Umpan ditawarkan khusus untuk PRU-13
Sekali lagi pembangkang membuat pelbagai janji manis untuk membantu rakyat dalam pembentangan Bajet Alternatif 2013. Umumnya rakyat tahu bajet yang dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin tidak lebih daripada bertujuan memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Rata-rata rakyat Malaysia melihat cadangan di dalam bajet itu sebagai sesuatu yang akan hanya tinggal sebagai janji seperti dilakukan dalam manifesto PRU-12 lalu yang hingga kini belum dapat ditunaikan sepenuhnya.
Kita kena lihat apakah tujuan bajet yang dibentangkan itu, sama ada untuk kesejahteraan rakyat atau untuk meraih undi semata-mata” - Mohd Zaini Abu Bakar, Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Zaini Abu Bakar melihat bajet pakatan pembangkang itu sebagai terlalu lunak untuk direalisasikan.
“Ia bukan bajet berasaskan realiti tetapi untuk tujuan pilihan raya dan meraih simpati pengundi,” kata beliau.
Justeru, timbul persoalan mengenai justifikasi dari mana datangnya sumber yang jelas jika mereka ingin melaksanakan bajet begitu lunak itu.
Bajet alternatif pembangkang itu dibentangkan Rabu lalu sebelum pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Antara perkara dijanjikan dalam bajet alternatif itu termasuk meningkatkan pendapatan boleh guna dengan mengurangkan cukai kereta, memansuhkan tol dan pinjaman pelajaran.
Pengurangan duti import untuk kereta hanya menguntungkan golongan berada dan tidak mendatangkan kesan terhadap kehidupan rakyat kumpulan sederhana dan rendah. Cadangannya untuk memansuhkan tol lebuh raya pula dilihat sebagai ikrar populis yang tidak boleh dilaksanakan.
Jejas pelajar
Pemerhati juga melihat cadangan untuk menarik balik pinjaman pelajaran sebagai langkah yang hanya menjejaskan prestasi pelajar dan mereka tidak akan lagi komited untuk mencapai tahap pendidikan tertentu.
Apabila ini berlaku golongan pelajar yang keluar dari universiti tidak mempunyai kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan. Sebaliknya, menerusi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelajar cemerlang akan memperoleh tawaran dan insentif tertentu sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran.
Umumnya, kita tahu graduan menganggur adalah antara masalah yang kian serius di negara ini. Masalah ini perlu ditangani dengan mewujudkan lebih banyak institusi yang menawarkan kursus kemahiran supaya pelajar dapat keluar dan memenuhi pasaran pekerjaan yang memerlukan pengkhususan tertentu.
Isu ini sedang dikaji dalam semakan semula sistem pendidikan negara yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran sekarang.
Bajet bagi tahun depan juga harus mengambil kira aspek berkaitan secara langsung dengan rakyat seperti menambah baik kemudahan kesihatan, kemudahan pengangkutan awam dan menyediakan lebih banyak skim perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Selaras dengan hasrat itu, kerajaan kini menyediakan kemudahan Klinik 1Malaysia di seluruh negara, yang dijangka diperluaskan bagi meliputi lebih banyak kawasan dalam Bajet 2013.
Selain itu kerajaan juga menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan RM100 kepada pelajar sekolah serta baucar buku RM200 kepada pelajar universiti. Terbaru kerajaan juga melancarkan Kad Diskaun bagi pelajar universiti bagi membolehkan mereka memperoleh potongan harga bagi barangan tertentu khususnya buku.
Tunai janji
Bagi pengangkutan awam pula, mulai 31 Ogos lalu kerajaan melancarkan perkhidmatan bas percuma Go KL bagi memudahkan orang ramai bergerak di sekitar kawasan bandar raya Kuala Lumpur. Beberapa inisiatif lain juga disediakan seperti menambahkan laluan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan membina satu lagi rangkaian rel ringan iaitu MY Rapid Transit (MRT).
“Rakyat mahukan kerajaan yang boleh menunaikan janjinya, bukannya pihak yang pandai membuat janji politik sebagai persiapan pilihan raya umum.
“Kita kena lihat apakah tujuan bajet yang dibentangkan itu, sama ada untuk kesejahteraan rakyat atau untuk meraih undi semata-mata,” kata Dr Zaini.
Mereka yang emosinya boleh dipancing dengan janji mungkin tidak begitu kisah untuk mencuba sesuatu yang baru asalkan ia boleh memberi faedah walaupun untuk jangka pendek. Ia umpama umpan yang diharapkan tetapi kita mesti ingat bahawa sesuatu yang dijanjikan dengan baik hendaklah diseimbangkan dengan kemampuan untuk melaksanakannya, kata timbalan dekan berkenaan.
Namun katanya, pihak yang menjanjikan bulan dan bintang tentunya tidak berasa rugi jika ditolak pada pilihan raya, sebaliknya memperoleh keuntungan jika rakyat termakan janji manis mereka.
Justeru, sekali lagi kita lihat sandiwara daripada pembangkang yang cuba mempengaruhi pemikiran rakyat menjelang pilihan raya umum ini. Bagi mereka, membuat janji adalah lebih mudah daripada mengotakannya. -BH
0 comments:
Catat Ulasan