AES : Kurangkan Kemalangan Maut, Kerugian Ditanggung Kerajaan


HULU TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mampu mengurangkan jumlah kemalangan maut dan kerugian yang ditanggung kerajaan akibat kemalangan jalan raya. 

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, sepanjang tempoh tahun lalu, 6,877 orang maut dalam 500,000 kes kemalangan jalan raya di seluruh negara menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM9 bilion. 
"Pihak berkuasa sudah melakukan kajian dan analisis terperinci di sekitar 831 kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi maut sejak lima tahun lalu sebelum AES dilaksanakan. 

"Justeru, rakyat usah khuatir dan jangan menganggap sistem ini menyusahkan mereka, sebaliknya inilah antara usaha menyelamatkan mereka dari terus menjadi korban nahas jalan raya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Kuala Telemong di sini, hari ini. 

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie dan Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat. 

Ismail berkata, JPJ akan memasang AES di 831 lokasi maut di seluruh negara, secara berperingkat dalam tempoh 18 bulan daripada sekarang. 

"Di Terengganu, 49 lokasi maut dikenal pasti dan saya berharap isu ini akan difahami oleh rakyat melalui penerangan yang diberi pihak berkuasa dari semasa ke semasa. 
"Sistem AES sudah lama digunakan di negara maju untuk mendidik rakyatnya supaya lebih berhemah di jalan raya dan saya yakin Malaysia juga akan berjaya dalam usaha mengurangkan kemalangan maut ini," katanya. 

Lebih 1,800 warga emas dan Orang Asli yang tinggal di pedalaman mendapat lesen B2 untuk menunggang motosikal di Terengganu sepanjang tempoh program itu diadakan tahun ini. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan