Usaha Hidupkan semula Al-Arqam Salah


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cubaan menghidupkan semula ajaran Al-Arqam perlu diambil perhatian kerana membabitkan ajaran Islam yang salah. 

Beliau berkata, ajaran itu sudah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru ia tidak sepatutnya dihidupkan kembali.

"Ini diputuskan oleh Majlis Fatwa kita tidak lama dahulu, diharamkan. Tapi masih ada bunga-bunga (untuk aktif semula)... masih nak teruskan walaupun tidak atas nama Al-Arqam. 

"Seperti yang disebut menteri bertanggungjawab di Jabatan Perdana Menteri, ini adalah sesuatu yang kita perlu ambil perhatian sebab ia adalah ajaran salah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Khas Guru Malaysia anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP di sini, semalam. 

Beliau diminta mengulas usaha menghidupkan semula ajaran sesat Al-Arqam dengan penganjuran konsert khas di Rawang, Khamis lalu. 

Dalam serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada majlis itu, 16 individu turut ditahan termasuk seorang pemimpin pembangkang. Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan bon mahkamah kelmarin. 

Mengulas pembabitan anggota pembangkang itu, Muhyiddin berkata: "Ini soal hukum, soal akidah. Tak kira siapa yang terbabit, kalau dia orang Islam, itu satu kesalahan. Sesuatu yang tidak harus dilakukan."

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri enggan mengulas dakwaan penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan usahawan balak, Michael Chia. 

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat hukuman awal hanya kerana ada pihak yang membuat tuduhan. 

"Banyak pihak yang dituduh tapi akhirnya terbukti tak buat kesalahan dan diputuskan oleh mahkamah juga. Jangan mudah buat' judgement' awal sebelum ia diputuskan pihak berwajib. Ia mesti dilihat secara prinsip, kebertanggungjawaban dan undang-undang," katanya. 

Tegasnya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati tentang sesuatu perkara boleh mengemukakannya kepada pihak bertanggungjawab supaya langkah susulan boleh diambil. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan