Pendidikan Mengubah Nasib Seseorang : Najib
PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sentiasa melakukan perubahan dan penambahbaikan terhadap bidang pendidikan kerana menyedari pendidikan mampu mengubah nasib seseorang itu kepada lebih baik.
"Wahana paling berkesan untuk mengubah seseorang dan bangsa adalah melalui pendidikan.
"Di Malaysia, individu yang berlatar belakang sederhana atau miskin boleh mengubah (nasib) kepada yang lebih baik (menerusi pendidikan", katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian surat tawaran kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bawah program Mengubah Destini Anak Bangsa dan Penyerahan Geran IPT Yayasan Pahang bagi kawasan Parlimen Pekan, di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata, pendemokrasian pendidikan di negara ini dilihat antara yang terbaik di dunia dalam membentuk mobiliti sosial yang mapan.
Beliau berkata di negara ini, menerusi pendidikan sesuatu generasi itu mampu mengubah untung nasib mereka untuk berada lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Najib berkata, kos pendidikan di negara ini juga dilihat masih rendah berbanding negara lain termasuk kos melanjutkan pengajian tinggi.
"Di Malaysia kos pendidikan tinggi adalah sederhana...kerajaan juga melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam Belanjawan 2013 baru-baru ini di mana pendidikan percuma untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta pemberian RM 100 kepada setiap pelajar, akan kita teruskan pada tahun hadapan," katanya.
Mengenai inisiatif UiTM itu, beliau berkata ia memberi peluang kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.
Pada majlis itu, 350 pelajar dari seluruh Pahang diberikan surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran peringkat pradiploma di UiTM cawangan Jengka, Pahang. -BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan